Khas Untuk Kaki Bisnes: 5 Kompleks Borong Terbaik Di Guangzhou, China

Khas Untuk Kaki Bisnes: 5 Kompleks Borong Terbaik Di Guangzhou, China

China merupakan negara kuasa baharu ekonomi dunia pada masa ini. Boleh dikatakan perkataan ‘Made In China’ ialah perkataan yang biasa kita jumpa di mana-mana produk. Kebanyakan pemborong terutamanya dari Malaysia telah beralih arah kepada China untuk memborong segala jenis barangan. Hal ini disebabkan barangan buatan China yang jauh lebih murah dari negara lain. Tambahan pula, lokasi China yang tidak terlalu jauh dari negara kita banyak membantu dari segi mengurangkan kos. Antara tempat borong terkenal di China tentunya ialah di Guangzhou yang digelar sebagai ‘Pintu Selatan China’. Di dalam artikel ini, kami akan membawa anda melihat 5 lokasi borong terbaik di Guangzhou, China:-

1. Onelink International Plaza

Kompleks ini mempunyai beraneka barangan yang boeh dibeli secara borong. Ia merupakan lokasi borong yang sangat popular bagi pemborong dari Malaysia. Boleh dikatakan lebih 80% pemborong di negara kita mengambil produk dan barang niaga di sini. Antara barangan yang selalu diborong di sini ialah permainan kanak-kanak, perhiasan rumah serta gajet. Misalnya sekiranya anda ingin membuka bisnes trading dengan modal yang agak kecil, Onelink adalah lokasi yang sesuai untuk anda singgah!

2. Zhong Da Fabric Market

Digelar raja segala kompleks fabrik, Zhong Da sememangnya lokasi borong tekstil dan fabrik terbesar di China dan dunia! Sebut sahaja segala fabrik yang anda mahu, semestinya ia terdapat di Zhong Da. Kompleks ini sebenarnya merangkumi 14 ‘fabric market’ yang berbeza dengan puluhan ribu peniaga. Antara fabrik yang menjadi pilihan pemborong ialah kain satin, ‘cotton’, sutera dan kain jeans. Bagi sesiapa yang berminat untuk berniaga kain, butik serta bisnes jahitan, jangan lepaskan peluang ke Zhong Da.

3. New Asia International Electronic

Anda berminat dengan gajet elektronik dan aksesori? Kompleks ini adalah antara lokasi yang sesuai untuk memborong gajet dan aksesori seperti power bank, memory card, phone casing dan barangan aksesori lain. Harga di sini agak murah tetapi anda harus membuat tawar-menawar harga dengan baik. Nasihat kami, jangan rambang mata dengan kepelbagaian barangan yang dijual. Pilih barang yang betul-betul sesuai untuk anda borong.

4. Baiyun Leather Market

Khas untuk wanita, sekiranya anda datang ke sini, anda harus mengawal keinginan anda. Hal ini kerana plaza borong ini menjual lebih 80% beg tangan wanita bermula dari gred rendah hinggalah ke gred tertinggi atau digelar ‘one to one copy’! Selain daripada beg tangan, barangan yang terdapat di sini ialah seperti tali pinggang, ‘sling bag’ serta dompet. Harga juga bergantung kepada gred. Tetapi ia boleh dikatakan murah jika dibandingkan di tempat lain.

5. Zhan Xi Lu

Kawasan ini terkenal dengan penjualan barangan seperti kasut, jam dan pakaian. Ia juga merupakan kawasan borong yang agak popular. Banyak pilihan gred barangan yang disediakan dari gred pakaian tidak berjenama hinggalah ke jenama yang terkenal. Terdapat juga sesetengah premis yang menawarkan penghantaran terus barangan borong secara ‘door to door’. 

 

Di sini juga kami sediakan beberapa tips penting berkaitan dengan memborong di China:-

 

  • Sekiranya anda mahu memborong di China dengan jumlah yang banyak, aturkan pengurusan wang dengan lebih sistematik. Pihak berkuasa China hanya membenarkan anda membawa maksimum 20,000 Yuan atau kira-kira 12,000 Ringgit. Oleh itu, rancang pengurusan wang seperti mengaktifkan kad ATM sebelum anda berlepas serta mengagihkan wang dengan membawa beberapa rakan.
  • Di China, banyak servis penghantaran barang disediakan. Anda hanya perlu pergi ke kaunter kedai servis dan mengisi borang tertentu. Caj penghantaran bergantung pada berat dan saiz barangan anda. Servis penghantaran pada masa ini cukup mudah kerana ia akan diuruskan oleh ejen. Barangan borong yang dihantar akan sampai terus ke pintu rumah anda.
  • Proses tawar-menawar adalah perlu untuk mendapatkan harga yang rendah. Namun, penjual di sana sudah terbiasa dengan pembeli yang memborong produk dengan kuantiti tinggi. Oleh yang demikian, sekiranya anda ingin memborong atau membeli dengan kuantiti yang sedikit, anda harus faham mengapa hanya sedikit harga yang dikurangkan oleh penjual selepas proses tawar-menawar. Tetapi, harga barangan di sana tetap murah walaupun anda membeli dengan kuantiti yang sedikit jika dibandingkan dengan harga di negara kita.
  • Majoriti penjual di China langsung tidak tahu atau kurang fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu, cuba belajar perkataan-perkataan penting di dalam proses jual beli. Selain itu anda juga boleh memuat turun aplikasi terjemahan bahasa di telefon pintar dan berkomunikasi dengan menunjukkan perkataan Bahasa Mandarin yang anda terjemahkan kepada mereka.
  • Di dalam proses jual beli, jaga etika dan adab. Sekiranya anda tidak berminat dengan tawaran harga, undur dengan cara yang baik dan sopan. Walaupun rata-rata sikap penjual di sana agak ‘cool’, adalah menjadi keperluan anda untuk menjaga adab di tempat orang.

Gedung borong di Guangzhou terlalu banyak sehinggakan jika seminggu anda berada di sini sekalipun, tidak mencukupi untuk anda melawat kesemua lokasi borong. Malahan, majoriti pemborong dari seluruh pelosok dunia mengambil barangan dari Guangzhou. Kepada anda yang baru ingin menceburi dunia trading, Guangzhou adalah tempat yang terbaik untuk memborong. Membuka bisnes trading tidak memerlukan modal yang besar. Oleh itu, rancang bisnes anda dengan baik. 

~Pazen

@Team TravelLouva

Sumber Gambar:

micheleng.com

elainewynne.tumblr.com

gzshopper.com