7 Institusi Beraja Yang Masih Wujud Di Asia

7 Institusi Beraja Yang Masih Wujud Di Asia

 

1. Thailand

Thailand terkenal sebagai negara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana penjajah dunia. Kejayaan ini dibantu dengan kebijaksanaan institusi raja yang memegang tampuk pemerintahan sejak dahulu. Walaupun pemerintahan Thailand sekarang ialah raja berpelembagaan, institusi beraja di sana tetap berkembang dan dihormati. Raja Thailand sekarang ialah Raja Bhumibol Adulyadej yang memegang tampuk pemerintahan beraja paling lama di dunia. Baginda kini bersemayam di Istana Chitralada, Bangkok. Antara tempat menarik di Thailand yang berkaitan dengan institusi beraja ialah Grand Palace di Bangkok. Grand Palace merupakan kompleks istana yang pernah menjadi tempat bersemayam raja-raja Thailand pada suatu ketika dahulu. Kompleks istana ini masih digunakan sehingga sekarang untuk tujuan rasmi. Tiket masuk ke Grand Palace ialah sekitar 500 Bath atau kira-kira hampir 60 Ringgit Malaysia.

2. Jepun

Sistem beraja di negara ini adalah satu-satunya sistem yang menggunakan gelaran ‘maharaja’ dan ‘maharani’ untuk raja mereka. Jepun mengamalkan sistem raja berpelembagaan iaitu maharaja berfungsi sebagai ketua negara dan ketua adat. Maharaja Akihito memegang tampuk pemerintahan beraja di Jepun pada masa kini. Kerabat diraja Jepun merupakan raja secara warisan yang paling tertua di dunia. Pada awal tahun 2000, sistem beraja di Jepun berada dalam keadaan yang gawat kerana Maharaja Akihito tidak mempunyai pewaris lelaki setelah Putera Naruhito dan Putera Akishino. Kerisauan ini sebenarnya mula timbul sejak 1965 lagi kerana tiada langsung kelahiran bayi lelaki direkodkan di dalam keluarga diraja Jepun sejak 1965! Namun kerisauan itu hilang setelah keluarga diraja Jepun mendapat pewaris lelaki iaitu Putera Hisahito yang dilahirkan pada 6 September 2006. Antara tempat yang boleh dilawati berkaitan institusi beraja di Jepun ialah di Imperial Palace Tokyo dan Kyoto Imperial Palace. Imperial Palace Tokyo merupakan tempat bersemayam Maharaja dan Maharani Jepun pada masa kini manakala Kyoto Imperial Palace pernah menjadi tempat bersemayam maharaja Jepun sekitar 1331-1869. Masuk adalah percuma.

3. Kemboja

Di sebalik sejarah peperangan Kemboja yang amat menyayat hati, institusi beraja di Kemboja tetap wujud walaupun silih berganti dan turun naik takhta pemerintahan kerajaan. Sejarah institusi beraja di Kemboja sangat panjang dan menarik. Bermula dari era Angkor, ia melalui zaman kejatuhan dan kebangkitan. Antara raja yang penting di Kemboja ialah Raja Norodom Sihanouk yang banyak memainkan peranan untuk kemerdekaan Kemboja dari penjajah Perancis. Kini, Raja Norodom Sihamoni ialah Raja Kemboja terkini yang memegang gelaran tersebut semenjak 2004. Raja di Kemboja dilantik oleh majlis diraja dan bukannya berterusan secara warisan. Antara tempat menarik tentang sejarah institusi beraja Kemboja tentunya ialah Kompleks Angkor Wat yang pernah menjadi 7 keajaiban dunia. Kediaman rasmi Raja Kemboja ialah Royal Palace, Phnom Penh. Tiket masuk ke Royal Palace ialah USD 6.25 atau kira-kira 26 Ringgit Malaysia.

4. Brunei

Sistem kerajaan di Brunei masih mengamalkan sistem monarki iaitu raja sebagai pemerintah mutlak. Di dalam sistem ini, raja berperanan penting sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sultan Hassanal Bolkiah memegang tampuk pemerintahan dari tahun 1967 hingga kini. Menariknya, baginda merupakan satu-satunya raja Melayu yang memerintah sebuah negara secara mutlak. Antara tempat menarik yang boleh anda lawati untuk melihat khazanah kesultanan Brunei ialah di Royal Regalia Museum. Tiada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung. Di samping itu, Istana Nurul Iman, iaitu singgahsana utama Sultan Brunei hanya dibuka kepada umum 3 kali setahun iaitu sewaktu rumah terbuka diadakan. Kompleks istana ini sangat besar dan memuatkan masjid serta dewan. Pada hari biasa, pengunjung hanya dibenarkan untuk bersiar-siar di hadapan pintu utama istana.

5. Bhutan

Dianggap salah sebuah negara terpencil di dunia, Bhutan merupakan negara yang mempunyai raja dan baru mengamalkan sistem raja berpelembagaan pada tahun 2008. Walaupun era monarki raja telah tamat, majoriti rakyat masih lagi memberi hormat dan taat setia kepada raja mereka. Tambahan pula, negara Bhutan diiktiraf sebagai negara paling bahagia di dunia kerana budayanya yang sangat sederhana dan teratur. Antara tempat menarik yang boleh dilawati ialah Tashichho Dzong iaitu istana raja Bhutan.

6. Arab Saudi

Arab Saudi juga mengamalkan sistem pemerintahan secara monarki. Diberi gelaran penjaga dua kota suci iaitu Makkah dan Madinah, raja Arab Saudi tidak dipilih secara warisan semata-mata. Hal ini bermaksud tidak semestinya anak raja terus dilantik sebagai raja. Namun, keluarga diraja Saudi tetap menjadi keluarga diraja mutlak di Arab Saudi.

7. Malaysia

Sistem raja berpelembagaan di Malaysia sangat unik berbanding negara lain. Hal ini kerana ketua negara dipilih setiap 5 tahun. Semua 9 raja-raja Melayu berpeluang menjadi sultan mengikut pusingan dan perkenan Majlis Raja-Raja. Banyak sebenarnya tempat menarik di Malaysia yang berkisar tentang sejarah raja. Antara yang paling popular semestinya Muzium Diraja iaitu bekas Istana Negara yang lama. Banyak koleksi berkaitan dengan Yang Di-Pertuan Agong dipamerkan seperti keris, barangan peribadi serta alat kebesaran diraja. Harga tiket masuk ialah RM5 bagi dewasa.

 

Sebenarnya masih terdapat lagi beberapa negara di Asia yang mempunyai sistem beraja. Namun di dalam artikel kali ini kami sekadar mengambil 7 negara yang mempunyai sistem beraja yang unik dan menarik. Institusi beraja sebenarnya masih lagi relevan di dalam dunia pada masa kini. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah bersyukur kerana masih mempunyai raja-raja Melayu yang sah dan diiktiraf dunia. Berbanding jiran-jiran kita yang tidak lagi mempunyai kuasa raja secara rasmi.

 

~Pazen

@Team TravelLouva