5 Tarikan Budaya Di Jepun yang Terkenal di Seluruh Dunia

5 Tarikan Budaya Di Jepun yang Terkenal di Seluruh Dunia

Bagi anda yang sukakan travel, Jepun merupakan sebuah negara yang harus anda letakkan dalam senarai untuk dilawati. Kenapa? Hal ini kerana Jepun merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam yang sememangnya menarik untuk dilawati. Tak percaya?? Cuba lihat apa yang kami kongsikan di sini :

1. Festival / Perayaan

Jepun merupakan negara yang mempunyai festival yang amat meriah dan berwarna – warni. Antara festival besar yang sering disambut adalah Hanami (festival bunga), Hari Tanabata (festival bintang) dan perayaan Tanglung Jepun (Japanese Floating Lantern Festival).

~ Hanami

Hanami merupakan perayaan yang disambut sebagai tanda meraikan musim bunga di Jepun. Kebiasaannya, masyarakat Jepun akan meraikannya dengan mengadakan parti di bawah pohon-pohon Sakura. Mereka akan membuat pelbagai aktiviti seperti menyanyi beramai-ramai, bermain permainan tradisional, tarian tradisional dan ada juga yang membuka booth makanan dan minuman. Melalui perayaan ini juga, mereka dapat mengeratkan lagi hubungan mesra di antara ahli keluarga dan sahabat – handai.

 

 

 

~ Tanabata

Tanabata merupakan perayaan yang sering disambut pada bulan Julai. Perayaan ini disambut oleh rakyat Jepun dan mempunyai kisah lagenda yang amat romantis. Dikatakan bahawa Orihime (anak kepada Dewa Tentei, Dewa Langit) telah jatuh hati kepada Hikoboshi. Orihime sering menyulam pakaian yang indah untuk bapanya. Namun, selepas berkahwin dengan Hikoboshi, Orihime tidak menyulam lagi pakaian untuk bapanya. Hal ini menyebabkan bapanya menjadi berang dan kecewa. Akhirnya pasangan ini dipisahkan. Mereka hanya dibenarkan berjumpa pada hari ketujuh di dalam bulan Julai (7 Julai) setiap tahun. Namun, masyarakat Jepun percaya bahawa jika pada hari tersebut hujan, maka pasangan tersebut tidak dapat bertemu. Setiap tahun, masyarakat Jepun akan meraikan perayaan ini dengan menggantungkan kad – kad hajat mereka di pokok dengan harapan hajat mereka akan ditunaikan.

 

 

 

~ Perayaan Tanglung Jepun

Perayaan ini disambut sebagai tanda berakhirnya Festival Bon. Festival Bon adalah perayaan di mana mereka menyambut kedatangan roh nenek moyang mereka ke dunia ini. Mereka akan mengambil peluang untuk membersihkan kubur – kubur nenek moyang mereka dan memanggil sami Buddha untuk membacakan sutra (mantera). Semasa perayaan Tanglung Jepun pula, mereka akan melepaskan tanglung ke udara dan menulis hajat mereka di sisi tanglung tersebut dengan harapan ia akan dimakbulkan.

 

2. Seni Tradisional dan Kraf tangan

Masyarakat Jepun terkenal dengan keunikan budaya mereka. Mereka merupakan sebuah masyarakat yang bersopan-santun dan mempunyai nilai – nilai murni yang tinggi. Antara kesenian mereka yang unik adalah seperti Ikebana, adab minum teh dan seni Kaligrafi. Ikebana adalah satu seni membuat gubahan bunga. Bunga akan digubah mengikut bentuk, garisan dan warna tertentu. Sesuai dengan peredaran zaman, kini bunga turut disusun bersama dengan material lain seperti kaca dan besi. Seterusnya, adab minum teh (tea ceremony) adalah satu seni yang merangkumi cara – cara penyediaan teh dan meminum teh dengan penuh kesantunan. Teh yang digunakan dalam upacara ini ialah teh hijau matcha. Walaupun Jepun kini sudah memasuki era kemodenan, masih ramai yang berminat mengambil kelas untuk mempelajari adab ini kerana mereka amat menyanjung tinggi kebudayaan mereka.

 

Di samping itu, mereka turut mempunyai seni Kaligrafi. Seni kaligrafi adalah satu cabang seni tulisan yang indah dan cantik. Kaligrafi ditulis menggunakan huruf Kanji. Terdapat tiga jenis gaya tulisan yang digunakan iaitu Kaisho, Sosho dan Gyosho. Kanak – kanak Jepun telah diwajibkan mempelajari seni kaligrafi ini sejak di bangku sekolah lagi.

 

3. Pakaian tradisional

Pakaian tradisional masyarakat Jepun iaitu Kimono sememangnya tidak asing lagi. Walau bagaimanapun, kimono hanya dipakai pada waktu tertentu dan istimewa sahaja seperti majlis perkahwinan. Kimono juga dipakai oleh geisha dan ryokan (pekerja hotel). Yukata pula adalah pakaian yang sering menjadi pilihan untuk dipakai masyarakat Jepun kerana ia diperbuat daripada kapas. Tidak hairanlah yukata sering dipilih masyarakat Jepun untuk digayakan terutama pada musim panas. Harga yukata yang jauh lebih murah turut menjadi faktor mengapa yukata menjadi pilihan berbanding kimono.

 

 4. Seni bela diri

Jika di Malaysia, seni bela diri yang sinonim dengan masyarakat Melayu adalah Silat. Masyarakat Jepun pula mempunyai pelbagai seni bela diri yang telah mempengaruhi kebanyakan negara di dunia. Antara seni pertahanan diri yang terkenal ialah Karate, Judo dan Aikido. Karate adalah seni bela diri berasal dari Kepulauan Ryukyu (sekarang dikenali sebagai Okinawa). Seni bela diri ini menggabungkan ilmu pertahanan diri rakyat Ryukyu dan pengaruh seni pertahanan diri China. Seterusnya, Judo merupakan seni bela diri yang berasal dari jujitsu (sistem bela diri tangan kosong dan latihan fizikal). Judo merupakan seni bela diri yang menggunakan tangan kosong dan mempunyai teknik untuk membanting musuh. Teknik yang digunakan menyebabkan musuh tidak stabil dan jatuh. Akhir sekali, Aikido adalah ilmu bela diri yang menggunakan beberapa teknik mengunci dan menjatuhkan lawan.

 

5. Anime

Apa itu anime? Anime adalah animasi Jepun yang mendapat tempat di hati kanak – kanak mahupun golongan dewasa di serata dunia. Anime terawal di Jepun dikatakan bermula sejak tahun 1917. Animasi Jepun ini juga terdiri daripada pelbagai genre seperti aksi, komedi, fantasi, pengembaraan, sains fiksyen, romantis dan macam – macam lagi.  Industri anime ini juga dikomersialkan dengan begitu pesat sekali. Menurut Laporan Industri Anime 2015 yang dikeluarkan oleh Association of Japanese Animations (AJA), keuntungan industri ini pada tahun 2014 dianggarkan sebanyak 1.63 trillion Yen (iaitu US$13.5 billion). Anime telah menjadi salah satu budaya unik masyarakat Jepun kerana ia turut menyumbang kepada pendapatan ekonomi dan mempengaruhi gaya hidup mereka. Malah terdapat muzium – muzium anime yang dibina di Jepun. Antara anime popular ialah One Piece, Naruto, Dragon Ball dan Bleach.

 

 

 

Begitulah serba sedikit yang kami dapat kongsikan kepada anda semua berkenaan budaya dan tarikan menarik mengenai Jepun. Sememangnya Jepun adalah sebuah negara menarik yang wajar anda lawati !

 

~Miss Kio

@Team Travellouva