5 Sebab Mengapa Budaya Travel Semakin Mendapat Tempat Di Negara Kita

5 Sebab Mengapa Budaya Travel Semakin Mendapat Tempat Di Negara Kita

1. Tiket Penerbangan Yang Murah

Sejak wujudnya syarikat tambang murah negara iaitu AirAsia, banyak lokasi yang boleh diterokai dengan harga yang sangat rendah. Hal ini kerana, sebelum wujudnya penerbangan tambang murah, harga tiket penerbangan agak mahal. Malahan, menjadi budaya masyarakat apabila menganggap hanya golongan yang berada sahaja yang layak untuk menaiki pesawat dan melancong ke luar negara. Namun, dengan munculnya penerbangan tambang murah yang menawarkan harga mampu milik kepada semua golongan, ia mengubah tanggapan umum tentang melancong dan menaiki pesawat. Masyarakat mula melihat peluang untuk pergi ke mana-mana destinasi dengan harga yang murah. Lama-kelamaan travel telah menjadi budaya kepada masyarakat hasil dari kemudahan akses penerbangan yang murah.

2. Pengaruh Media Sosial

Media sosial memainkan peranan yang penting dalam membentuk budaya travel di negara kita. Di dalam media sosial, perkongsian mengenai travel menjadi topik yang trending dan sering diikuti oleh netizen. Fungsi media sosial yang boleh memberi pengguna akses perkongsian gambar, video dan informasi tentang lokasi travel secara tidak langsung telah menarik minat masyarakat kepada budaya travel. Media sosial di dalam istilah sosiologi merujuk kepada satu produk budaya yang bersifat homogenous dan standardise iaitu budaya yang sama di serata dunia dan menjadi ikutan masyarakat. Oleh itu, tidak hairanlah jika media sosial mempengaruhi masyarakat kepada dunia travel.

3. Lambakan Pakej Percutian Murah

Pakej-pakej percutian bajet juga adalah sebab mengapa travel menjadi trend di negara kita. Hal ini kerana ia menawarkan pakej percutian dengan harga yang begitu murah. Sesetengah kaki travel menggemari percutian secara pakej kerana ia memudahkan mereka tanpa perlu mencari hotel, pengangkutan dan pemandu pelancong. Percutian secara pakej juga bersesuaian kepada golongan berkeluarga yang ingin menikmati percutian dengan lancar. Pakej percutian yang murah memberi kemudahan dan peluang kepada semua golongan umur untuk melakukan aktiviti melancong.

4. Budaya D.I.Y (Do It Yourself)

Budaya Do It Yourself yang menjadi trend pada masa kini telah memberi dimensi baru kepada budaya travel di negara kita. Budaya D.I.Y bermaksud budaya yang menyuruh kita melakukan segala urusan dengan sendiri. Misalnya di dalam travel, kita perlu menempah tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan sendiri. Pendek kata, budaya ini memupuk kita untuk belajar dan berdikari sendiri untuk pergi melancong ke sesuatu tempat. Tambahan pula, melancong secara D.I.Y atau backpacker ini dapat dilakukan dengan bajet yang rendah. Hal ini juga menjadi sebab mengapa masyarakat di negara kita semakin gemar untuk travel.

 

 5. Kemudahan Teknologi

Sebenarnya budaya travel bukan sahaja menular di negara kita, bahkan ia menular ke serata dunia. Penularan ini berkait rapat dengan kemudahan teknologi pada masa kini. Kemudahan dari segi telekomunikasi, GPS, internet dan lain-lain membawa kelebihan kepada aktiviti travel. Misalnya pada zaman sebelum kewujudan internet, melancong adalah perkara yang sukar dan mahal. Namun dengan adanya internet, semuanya menjadi mudah dan kos dapat dikurangkan. Tempahan penginapan, pengangkutan dan perancangan itinerari juga boleh diakses di dalam internet. Oleh itu, kepesatan teknologi dilihat membawa kepada perkembangan budaya travel di negara kita.


Perkembangan budaya travel di negara kita sememangnya suatu budaya yang sihat. Travel dapat memberi kita pengetahuan baru dan pengalaman yang menarik. Apa lagi? Jom melihat dunia dengan mata burung & bukannya di bawah tempurung. Now Everyone Can Travel!

~Pazen A.A.

@Team TravelLouva