5 Peluang Bisnes Yang Boleh Anda Ceburi Di Dalam Industri Pelancongan

5 Peluang Bisnes Yang Boleh Anda Ceburi Di Dalam Industri Pelancongan

1. Bisnes Sewa Motosikal/Kereta

Pengangkutan adalah perkara yang sangat penting kepada pelancong. Hal ini kerana sebagai pelancong, mereka akan selalu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bisnes ini sangat mudah untuk dilakukan kerana hanya memerlukan modal yang minima iaitu sebuah motosikal atau kereta. Lokasi pelancongan adalah tempat yang sangat sesuai untuk membuka bisnes ini.

2. Servis ‘Tour Guide’

Modal bisnes ini sangat mudah iaitu hanya perlu mempunyai kemahiran dalam bahasa asing seperti Bahasa Inggeris & Bahasa Arab. Bisnes ini juga sesuai dilakukan oleh pelajar dan lepasan graduan. Disamping mendapat duit poket, ia juga dapat meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan bisnes. Tambahan pula, servis ‘tour guide’ masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelancong asing.

3. Jual Souvenir

Souvenir merupakan barangan wajib yang akan dibeli oleh mana-mana pelancong yang datang melawat ke sesuatu tempat pelancongan. Walaupun persaingan dalam jualan souvenir agak tinggi, ia masih boleh mendapat pendapatan yang lumayan asalkan souvenir yang dihasilkan adalah kreatif dan menarik. Sebagai contoh, membuat kad ‘pop up’ berdasarkan identiti tempat pelancongan seperti kad ‘pop up’ Kota A Famosa.

4. Inap Desa/Homestay

Perniagaan servis inap desa atau homestay sememangnya bisnes yang biasa dibuat oleh masyarakat kita. Namun kebanyakan homestay pada masa kini lebih menyerupai kepada imej rumah rehat. Kebanyakan homestay didirikan di taman perumahan dan dibina secara moden. Jika mahu homestay anda menjadi tarikan pelancongan, ia perlu dibangunkan selari dengan maksud asal inap desa itu sendiri iaitu menyewa kawasan penginapan yang mempunyai sistem kemasyarakatan, kebudayaan serta geografi yang boleh menarik perhatian pelancong luar dan tempatan untuk mendekatinya.

5. Wujudkan Aktiviti Pelancongan

Sebenarnya, banyak aktiviti pelancongan yang boleh diwujudkan di sekitar kawasan kita. Misalnya, membuat aktiviti pelancongan berkaitan dengan alam semula jadi, kesenian serta kebudayaan. Sebagai contoh, membuka pakej ‘river cruise’ kepada pelancong di kawasan sungai paya bakau. Pelancong atau kaki travel yang datang mahukan aktiviti pelancongan yang menarik dan memberi kepuasan kepada mereka. Oleh itu, idea dan kreativiti menarik sangat penting dalam mewujudkan aktiviti pelancongan yang bagus. Seterusnya, ia mampu menjana pendapatan lumayan dan meningkatkan taraf ekonomi sesuatu tempat.

 

Peluang-peluang di atas ialah contoh bisnes yang boleh anda ceburi di dalam dunia pelancongan. Pada pendapat kami, untuk mulakan sesuatu bisnes, perlu jalan terus dan gunakan apa yang ada. Hal ini kerana perniagaan tidak memerlukan modal yang besar untuk bergerak. Asalkan ada idea dan peluang, teruskan bergerak. Tidak dinafikan, ada sesetengah bisnes perlu mengikut prosedur yang ditetapkan. Tetapi harus diingat, permulaan bisnes yang paling baik ialah mulakan bisnes secara kecil-kecilan dari bawah. Penggunaan media sosial yang semakin popular juga memudahkan ‘marketing’ bisnes dilakukan. Tambahan pula budaya travel bukan sahaja berkembang di negara kita, malahan turut popular di serata dunia. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda.

 

~Pazen

@Team TravelLouva

Sumber Gambar:

www.clicksouvenirs.com

www.mynewshub.cc