3 Warisan Kesenian Islam di Malaysia yang Perlu Anda Tahu

3 Warisan Kesenian Islam di Malaysia yang Perlu Anda Tahu

Islam merupakan agama rasmi di negara Malaysia. Kaum Melayu di Malaysia merupakan penganut agama Islam paling ramai di negara ini. Menurut pakar sejarawan, agama Islam dibawa masuk oleh pedagang  melalui tiga cara iaitu dari China, India dan juga dari Arab. Walau bagaimanapun, kali ini kami ingin berkongsi kepada para pembaca serba sedikit mengenai warisan kesenian Islam yang ada di Malaysia.

1. Seni bina

Kebanyakan seni bina di negara Malaysia mempunyai serba sedikit pengaruh Islam. Hal ini dapat dilihat melalui motif corak geometri dan flora yang menghiasi bangunan indah seperti Masjid Putra yang terletak di Putrajaya. Masjid ini dipengaruhi seni bina Parsi semasa pemerintahan Kerajaan Safawe.

Seterusnya, kita juga dapat melihat seni bina Islam di Bangunan Dewan Undangan Negeri, Sarawak. Seni bina bangunan ini jelas dipengaruhi seni bina Melayu dan Islam. Kubahnya berbentuk “terendak” amat unik dan merupakan hasil kerja tangan para tukang yang datang dari Uzbekistan.

2. Seni Khat

Seni khat merupakan khazanah di dalam dunia Islam. Ia merupakan kemahiran menulis dalam huruf – huruf Arab dengan gaya menarik dan indah. Di Malaysia, orang Melayu telah lama mempraktikkan seni khat ini. Seni khat digunakan secara meluas di dalam seni bina bangunan mahupun hiasan di rumah. Terdapat pelbagai jenis tulisan khat iaitu khat Nasakh, khat Kufi, khat Farsi, khat Diwani dan pelbagai lagi jenis khat yang ada. Orang Melayu juga telah menggunakan huruf – huruf Arab sebagai tulisan Jawi pada suatu masa dulu secara meluas. Kini, tulisan khat dan Jawi masih diajar di kebanyakan sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

3. Seni Muzik

Kesenian Islam turut mempengaruhi bidang seni muzik di negara ini. Buktinya dapat dilihat menerusi penggunaan alat muzik seperti kompang, rebana dan gambus.

~Kompang

Kompang merupakan alat muzik yang digunakan oleh orang Melayu. Kulit kompang kebiasaannya diperbuat daripada kulit kambing mahupun getah sintetik. Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab suatu ketika dulu.

~Rebana

Rebana merupakan alat muzik tradisional Islam yang amat popular di rantau Asia Tenggara. Istilah rebana juga berasal daripada perkataan Arab iaitu “Robbana” yang bermaksud “wahai Tuhanku”. Rebana mempunyai bunyi yang lebih lembut berbanding kompang. Antara rebana yang sering digunakan di Malaysia ialah Rebana Ubi,Rebana Hadrah. Kompang merupakan salah satu versi rebana cuma ia lebih kecil berbanding rebana. Rebana digunakan secara meluas bukan sahaja di Malaysia, malah digunakan masyarakat Islam di Indonesia, Cambodia, Singapura dan Brunei dalam pelbagai versi.

~Gambus

Gambus merupakan alat muzik yang berasal dari Yaman. Ia berbentuk seperti buah pear dan sering dimainkan dalam majlis keramaian orang Melayu. Gambus juga sering dimainkan semasa tarian Zapin diadakan. Alat muzik ini masih lagi digunakan di Malaysia dan negara jiran seperti Indonesia. Terdapat dua jenis gambus yang digunakan iaitu Gambus Hadramaut dan Gambus Hijaz.

 

~Miss Kio

@Team TravelLouva